Polis buru ketua kumpulan “Geng Ammar” samun pasar raya

LARUT: Polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Ammar Mohd Fazdil yang dipercayai ketua kumpulan “Geng Ammar” selepas terbabit dalam kes pecah masuk sebuah pasar raya di Batu Kurau, di sini pada 27 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Selama Supt Sarudin Samah berkata suspek berumur 28 tahun dan berasal dari Pulau Pinang itu mempunyai 34 rekod lampau membabitkan 24 kes jenayah dan 10 kes narkotik.

“Selain kes ini, hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek juga dipercayai masih berada di dalam negara dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Dzul Izham melalui talian 018-9069530 atau mana-mana balai polis terdekat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, kumpulan terbabit dipercayai memecah masuk pasar raya berkenaan sebelum melarikan sebuah peti besi berisi wang tunai kira-kira RM14,000.

Mengulas lanjut, Sarudin berkata dua daripada tiga suspek yang melakukan rompakan itu telah diberkas di Pulau Pinang dan Kedah serta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping pada 9 dan 10 Sept lepas.

“Seorang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah dan menunggu perbicaraan,” katanya – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *