KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Berhubung kait kerusi Parlimen akan diperincikan lebih lanjut lagi… secara prinsip yang dipersetujui tadi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengatakan bahawa perkara ini boleh dipertimbangkan tapi tertakluk perundingan dan perincian seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat.
Mesyuarat itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menjelaskan sebarang pindaan melibatkan kerusi Parlimen memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Beliau menambah penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri adalah di bawah kuasa kerajaan negeri masing-masing.
Fadillah berkata mesyuarat turut bersetuju supaya pelantikan semua hakim yang melibatkan Sabah dan Sarawak memerlukan konsultasi rasmi dengan Yang Dipertua Negeri.
“Sekarang ini sudah dilaksanakan secara pentadbiran iaitu apa-apa pelantikan yang melibatkan hakim-hakim Sabah dan Sarawak ia kena dirujuk kepada TYT Sabah dan TYT Sarawak… pindaan Perlembagaan akan dilaksanakan,” katanya.
Mesyuarat juga sepakat untuk meminda Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan berhubung pengurusan sisa buangan terjadual.
Pindaan tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada Disember bagi memberi kuasa kepada Sabah dan Sarawak menguruskan isu alam sekitar.
Dalam hal pelancongan, jawatankuasa teknikal akan memperincikan cadangan pindaan perlembagaan selepas Kementerian Pelancongan mendapatkan pandangan semua negeri.
“Kita masih melihat dari segi konteks pindaan kepada Perlembagaan, jadi jawatankuasa teknikal akan memperincikan lagi seperti yang diputuskan tadi… MOTAC perlu libat urus dengan seluruh negeri di Malaysia berhubung kait dengan perkara itu,” katanya. – Bernama