Penganggur ditahan bersama rokok tidak bercukai bernilai RM270,000

KANGAR: Polis menahan seorang penganggur serta merampas 1,509 karton rokok pelbagai jenis yang dipercayai tidak bercukai bernilai RM270,000 di hadapan sebuah rumah di Kampung Rambai, Padang Siding, Pauh di Arau pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau pada 10.30 pagi selepas rokok berkenaan ditemukan dalam kenderaan pelbagai guna Naza Ria.

Pihak polis menjalankan pemeriksaan di rumah tersebut dan mendapati lelaki ini berada dalam rumah, polis kemudian membawa suspek ke hadapan rumah untuk menjalankan pemeriksaan dalam kenderaan itu dan mendapati terdapat rokok tidak bercukai ini yang diletakkan di bahagian belakang tempat duduk penumpang.

Ahmad Mohsin berkata rokok tersebut dipercayai milik lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk dadah turut positif metamfetamina dan direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *