MBI sumbang komputer riba, dongel dan data internet kepada 100 pelajar IPT

SHAH ALAM: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI telah menyerahkan komputer riba kepada 100 pelajar Institut Pengajian Tinggi dalam kalangan anak Selangor daripada keluarga berpendapatan rendah.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyatakan sumbangan siri pertama bagi 2025 itu bertujuan memudahkan proses pembelajaran golongan berkenaan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM150,000.

Setiap penerima turut diberikan satu unit dongel dan kad modul pengenalan pelanggan dengan kapasiti 30GB data percuma setiap bulan selama setahun.

Sumbangan menerusi Program Data Internet Selangor yang turut dikendalikan MBI ini melibatkan peruntukan RM500,000 membabitkan 3,000 mahasiswa.

Ahmad Azri berharap semua penerima dapat memanfaatkan bantuan ini sepenuhnya dalam melaksanakan tugasan akademik masing-masing.

Pemberian tahun ini difokuskan kepada pelajar IPT selepas bantuan serupa sebelum ini disalurkan kepada ketua kampung, nelayan dan kumpulan sasar lain.

Inisiatif ini diharapkan bukan sahaja mengupayakan pembelajaran pelajar tetapi juga menyumbang kepada peningkatan mutu pendidikan negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *