Feri percuma, tambang murah AirAsia untuk sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Beberapa kemudahan dan promosi pengangkutan awam disediakan khas bagi memudahkan orang ramai hadir memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, dekat sini pada 16 Sept ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata pihaknya menyediakan perkhidmatan feri percuma pada 15 dan 16 Sept untuk warganegara Malaysia sahaja, dengan mempamerkan MyKad atau MyKid semasa berurusan di kaunter feri.

“Ia sebagai tanda sokongan terhadap pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya inisiatif memberikan hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia dan berharap dapat membantu mengurangkan beban rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia turut tidak ketinggalan menyemarakkan sambutan dengan melancarkan promosi istimewa sempena acara bersejarah itu.

Pengarah Wilayah Utara AirAsia Malaysia Kenneth Tan berkata syarikat itu menawarkan promosi tawaran harga bermula RM57 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke beberapa lokasi.

“Di AirAsia, kami menawarkan promosi AirAsia Malaysia Day Sale bermula 15 hingga 21 Sept ini bagi penerbangan dari 15 Sept hingga 30 Jun 2026 dengan harga sehala bermula RM57.

“Penerbangan itu dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, Langkawi (Kedah), Kota Kinabalu (Sabah), Shenzhen (China), Ho Chi Minh (Vietnam) dan Medan serta Jakarta di Indonesia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, beliau berkata AirAsia turut menawarkan promosi jimat sehingga 30 peratus dengan value pack dan value pack lite.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Pulau Pinang Hasmiza Hussein berkata orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan van Rapid Penang On-Demand yang lebih mudah dan murah untuk ke PICCA@Butterworth Arena.

“Berdasarkan perbincangan dengan Rapid Penang, pengendali pengangkutan bas di negeri ini menyarankan agar orang ramai menggunakan perkhidmatan van Rapid Penang On-Demand untuk menghadiri sambutan Hari Malaysia,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ diadakan pada 16 Sept di PICCA@Arena Butterworth, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan acara pada 8.30 malam, yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pada 11 Jun, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung di Pulau Pinang, selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung setiap tahun – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *