KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan mengesahkan kewujudan budaya ‘MA’ iaitu sesi perjumpaan antara pelajar senior dan junior di asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar.
Saksi keenam prosiding inkues Linah Mansoding @ Jaliha berkata beliau tidak menolak kemungkinan pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir turut dipanggil menghadiri sesi berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa pada awalnya beliau tidak memahami makna istilah ‘MA’ tetapi kemudian memahaminya selepas dijelaskan oleh pelajar asrama terbabit.
Linah yang merupakan ibu kepada empat anak memberikan keterangan berhubung perkara itu ketika disoal peguam keluarga Zara Qairina Shahlan Jufri pada hari ketujuh prosiding inkues.
“Saya pun tidak faham mula-mula ‘MA’ ini apa, tanya budak-budak baru mereka terangkan,“ katanya.
“Selalunya, senior panggil junior, tujuannya untuk teguran dan nasihat, tidak hormat, limpas pun tidak senyum, itulah macam dia orang bagi nasihat kepada adik-adik.”
Beliau menambah bahawa budaya itu telah dilarang dan diharamkan di asrama tersebut.
Linah menjelaskan bahawa pelajar senior bertindak sesuka hati dalam sesi ‘MA’ tersebut dan tidak dibenarkan memanggil junior sesuka hati.
“Kalau ada kesalahan, lapor kepada cikgu dan cikgu yang akan menasihat,“ tegasnya.
“Sepatutnya cikgu yang panggil, bukan senior. Itu pun cikgu tidak tahu mereka buat begini.”
Ketika ditanya berapa kali beliau memberi keterangan kepada polis berhubung kes Zara Qairina, saksi menjawab “tujuh kali”.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan akan bersambung pada tarikh akan datang.
Zara Qairina yang berusia 13 tahun meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis.
Sebelum itu pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama