PASIR MAS: Unit Anjing Pengesan Dadah (APD) Unit K9 Narkotik membantu Jabatan Kastam Kelantan menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dengan rampasan keseluruhan bernilai RM30.2 juta tahun ini.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata kejayaan itu membabitkan 28 kes sejak awal Januari hingga semalam menerusi operasi bersepadu di pintu masuk utama negara di negeri ini serta operasi khas berasaskan maklumat risikan.
Beliau berkata APD banyak membantu kastam mengesan cubaan penyeludupan dadah termasuk yang disorok dengan cara rumit pada bahagian tertentu kenderaan atau bagasi.
“Keupayaan APD kami membuktikan elemen kawalan di pintu masuk negara semakin diperkukuh dalam usaha membanteras kemasukan dadah.”
“Unit K9 Narkotik Zon Timur JKDM Kelantan kini memiliki tiga ekor APD baka Labrador Retriever dari India, masing-masing bernama Tara, Bittu dan Snoopy,“ katanya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Difahamkan, jumlah keseluruhan APD kastam di seluruh Malaysia adalah sebanyak 20 ekor termasuk di bawah seliaan Unit Narkotik Zon Timur.
Wan Jamal berkata kesemua APD di Kelantan kini ditempatkan di Unit Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang dan sentiasa bersedia untuk tugasan lapangan khususnya berkaitan dadah.
“Unit ini juga melaksanakan kawalan secara bergilir di semua pintu masuk utama di Kelantan selain ditugaskan di lokasi tertentu mengikut keperluan dan maklumat risikan,“ katanya.
Menurutnya, Unit Narkotik Kastam Kelantan ditubuhkan pada 1986 dengan kekuatan awal empat pegawai, tiga pengendali anjing dan tiga ekor APD sebelum berkembang dengan fasiliti serta keanggotaan yang lebih mantap kini.
“Kastam Kelantan komited meneruskan usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah sekali gus memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,“ katanya.
Mengulas mengenai kaedah APD bertugas, beliau berkata anjing pengesan biasanya dibawa mengelilingi kenderaan yang disyaki dan akan berdiam diri di tepi kenderaan sebagai isyarat terdapat dadah di dalamnya.
“Setakat ini tugasan menggunakan APD amat memuaskan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha memerangi dadah di negeri ini,“ katanya. – Bernama