Suri rumah didenda RM10,000 fitnah yang Yang Dipertua Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Seorang suri rumah telah didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana membuat hantaran palsu dan berbaur fitnah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah di laman Facebook.

Asmaziah Sedek, 32 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada Julai lepas.

Hakim Marlina Ibrahim memerintahkan wanita itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

Tertuduh didakwa secara sedar membuat penghantaran komunikasi palsu menerusi akaun Facebook “Ash Qiey” dengan niat mengganggu orang lain pada 9.21 malam, 29 Julai.

Hantaran komunikasi tersebut telah dibaca Setiausaha Perhubungan Yang Dipertua Negeri Sabah Abdullah Hussin di kediaman rasmi Sri Anggerik, Luyang pada 10 pagi, 31 Julai.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith Gilbert memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana menyebarkan berita palsu melibatkan Yang Dipertua Negeri.

Asmaziah yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan tidak bekerja dan suaminya baru mendapat kerja serta tinggal jauh daripadanya.

Tertuduh memohon pertimbangan kerana mempunyai anak berusia lapan bulan yang masih menyusu dan seorang anak yang bersekolah di sekolah rendah. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *