Reman bapa dan teman wanita dalam kes lemas dua beradik disambung

SEREMBAN: Tempoh reman terhadap bapa kepada dua beradik yang meninggal dunia akibat lemas dalam kereta yang menggelongsor ke Sungai Tanjung Agas Linggi, Port Dickson telah disambung lima hari hingga 16 September ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad menyatakan reman terhadap teman wanita lelaki tersebut turut disambung empat hari hingga 15 September.

Permohonan lanjutan reman kedua-dua suspek itu diperoleh daripada Mahkamah Majistret Port Dickson pada pagi tadi.

Alzafny menjelaskan lanjutan reman diperlukan untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lelaki berumur 46 tahun dan wanita berumur 41 tahun itu sebelum ini direman tujuh hari bermula 5 September bagi membantu siasatan kematian dua kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun.

Dalam kejadian pada 4 September lalu, dua beradik lelaki dan perempuan lemas setelah terperangkap dalam kereta yang menggelongsor ke dalam sungai.

Bapa mereka terselamat kerana berada di luar kereta ketika kejadian manakala seorang wanita yang turut berada dalam kenderaan berjaya diselamatkan orang awam.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian dua beradik itu disebabkan lemas tanpa unsur kekerasan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *