KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada Nor Riza Embong, mangsa kebakaran rumah di Bandar Indera Mahkota Jaya, Kuantan, Pahang.
Sumbangan tunai berjumlah RM10,000 itu diserahkan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Nor Riza di kediamannya.
“Meski kediaman beliau musnah hampir keseluruhannya, namun Alhamdulillah, syukur tiada sebarang kemalangan jiwa.
“Dugaan ini pastinya begitu berat untuk ditanggung, lebih-lebih lagi apabila melibatkan tempat berteduh sekeluarga,” menurut Ahmad Farhan dalam hantaran Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri hari ini.
Ahmad Farhan berharap sumbangan berkenaan dapat menampung sedikit sebanyak kos dan meringankan beban Nor Riza sekeluarga.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang turun padang membantu sewaktu dan selepas kejadian tersebut yang berlaku baru-baru ini, khususnya pasukan bomba, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan komuniti setempat yang pantas memberikan sokongan – BERNAMA