SUNGAI BULOH: Dua beranak warga emas ditemukan rentung selepas rumah teres satu tingkat mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Kebakaran berlaku di Kampung Sri Indah A dengan jabatan bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.50 tengah malam.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh tiba di lokasi dalam masa 10 minit selepas panggilan diterima.
Rumah teres tersebut terbakar 80 peratus dengan dua mangsa lelaki berusia 94 dan 62 tahun ditemui rentung di dalam.
Operasi menyelamat dibantu oleh balai bomba Damansara, Rawang dan Bukit Jelutong melibatkan 28 anggota dengan lapan jentera.
Kebakaran turut memusnahkan dua kenderaan iaitu Perodua Alza dan Perodua Kancil yang kedua-duanya terbakar 80 peratus.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.40 pagi dengan kedua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM.
Unit anjing pengesan K9 dikerahkan untuk membantu siasatan forensik di lokasi kejadian.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut susulan tragedi tersebut.
Pasukan bomba kembali ke lokasi untuk operasi ulangan dan kerja-kerja overhaul pagi ini. – Bernama