Bali pulih selepas banjir, tiada rakyat Malaysia terjejas menurut kedutaan

JAKARTA: Keadaan di Bali yang dilanda banjir sedang beransur pulih dengan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas menurut Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Beliau menyatakan lima rakyat Malaysia yang terkandas pada Rabu akibat kawasan hotel mereka dinaiki air telah selamat berlepas pulang pagi tadi.

Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai di Bali telah kembali beroperasi seperti biasa menurut kenyataan rasmi kedutaan.

Kedutaan akan terus memantau keadaan rakyat Malaysia di Bali dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +62 81380813036.

Mereka juga boleh menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Bali di talian +62 361751953 untuk sebarang bantuan kecemasan.

Hujan lebat di pulau peranginan Bali pada Rabu menyebabkan banjir di beberapa kawasan termasuk Jembrana, Gianyar, Badung, Tabanan, Karangasem, Klungkung dan Denpasar.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia melaporkan 14 orang maut, dua hilang dan 659 terjejas akibat bencana banjir tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *