Amin Rasuad jaguh bina badan ketiga kelahiran Batu Pahat, selepas Malek Noor & Sazali

BATU PAHAT: Sebut sahaja sukan bina badan, pastinya ramai teringatkan dua atlet legenda – Datuk Abdul Malek Mohamed Noor (Malek Noor) dan Sazali Samad – yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Menariknya, kedua-dua jaguh berkenaan merupakan anak kelahiran Batu Pahat, Johor.

Kini, daerah yang terkenal dengan julukan Bandar Penggaram itu melahirkan seorang lagi jaguh sukan tersebut apabila atlet bina badan Amin Rasuad Sidek, 46, berjaya menempatkan diri di tangga keempat peringkat Asia pada Ogos lalu.

Amin Rasuad berkata beliau mula berjinak-jinak dalam sukan itu ketika di bangku sekolah rendah apabila sering mengikut arwah ayahnya Sidek Yahya yang juga seorang jurulatih sukan tersebut, ke gimnasium milik mereka di Tongkang Pechah.

“Ayah melatih atlet bagi daerah Batu Pahat dan juga negeri Johor. Bermula dari situlah minat saya terhadap sukan menggayakan otot ini mula bercambah dan semakin kuat apabila saya di sekolah menengah. Saya mula menjalani latihan secara formal ketika berusia 16 tahun dan mengambil masa hampir setahun untuk membina otot bersesuaian,’ katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Amin Rasuad berkata usaha kerasnya mula membuahkan hasil apabila dia dinobatkan sebagai juara Kategori Junior Kejohanan Mr. Johor 1998 ketika berusia 18 tahun, sekali gus menjadi platform untuknya bergiat lebih aktif dengan menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan.

Beliau dipilih mewakili negara pada 2022 setelah menyertai Asian Championship Body Building di Maldives dan berjaya meraih tempat keempat bagi Kategori Bantam Weight 65 kilogram

Bapa kepada tiga cahaya mata itu kini bernaung di bawah Persatuan Bina Badan Malaysia (MBBF) yang diketuai oleh Mejar Jeneral (B) Datuk Dr Ahmad Badrus Othman, sekali gus memberikannya peluang untuk menyertai beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, antara pencapaian terbaiknya ialah memenangi tempat kedua di 15th WBPF World Body Building & Physique Sports Champoinship 2024.

Berkongsi tentang latihan dan pemakanan harian bagi mengekalkan bentuk badannya menjelang pertandingan, Amin Rasuad berkata antaranya, beliau akan mengambil ayam, telur dan ikan dalam jumlah lebih besar berbanding kebiasaan selain menukar daripada beras putih kepada beras perang.

“Saya juga perlu melakukan latihan setiap hari selama empat jam, iaitu dua jam di waktu pagi dan dua jam sebelah petang atau malam.

“Disiplin amat penting dalam latihan ini kerana jika tertinggal, walaupun hanya sehari, akan memberi kesan kepada otot di beberapa bahagian, selain dikhuatiri berlaku penghasilan lemak di bahagian terbabit,” jelasnya.

Memiliki gimnasium sendiri yang digunakan bagi mencari bakat baharu dan atlet pelapis, beliau kini melatih empat atlet Johor termasuk Mohammad Hakimi Othman yang berjaya meraih tempat ketiga dua tahun berturut-turut dalam Kejohanan Bina Badan Kebangsaan (Mr Malaysia) 2023 dan 2024.

“Saya juga melatih anak kedua saya yang berusia 18 tahun untuk menuruti jejak langkah saya,” katanya yang berharap sukan itu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan bagi melahirkan jaguh yang dapat mengharumkan nama negara.

Menurutnya, ini kerana kesukaran mendapatkan tajaan merupakan kekangan terbesar atlet bina badan untuk pergi lebih jauh -BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *