Warga emas rugi RM46,000 ditipu sindiket bantuan palsu di Pahang

KUANTAN: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun dari Bentong mengalami kerugian RM46,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan bantuan kerajaan yang menyasarkan golongan berusia.

Mangsa dilaporkan hilang oleh anaknya pada 3 September selepas dua individu tidak dikenali membawanya keluar dari rumah, seperti yang dirakam oleh kamera litar tertutup.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman mendedahkan bahawa wang simpanan mangsa dalam dua akaun bank telah habis dikeluarkan oleh suspek di dua bank berbeza di Rawang.

Mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan selepas wang berjaya dikeluarkan sebelum ditemui oleh ahli keluarganya dalam keadaan selamat sehari kemudian.

Modus operandi sindiket ini adalah dengan memperdayakan warga emas melalui tawaran bantuan kerajaan palsu sebelum meminta mereka membawa dokumen penting dan dibawa ke bank.

Yahaya menasihati orang ramai khususnya warga emas supaya berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran bantuan daripada pihak tidak dikenali.

Beliau turut menyarankan ahli keluarga untuk sentiasa memantau pergerakan ibu bapa mereka yang sudah berusia.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *