JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan lima individu termasuk tiga penjawat awam kerana disyaki bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.
Mereka ditahan bagi memperoleh bayaran berkaitan tuntutan bekalan lembu betina daripada sebuah badan berkanun berjumlah kira-kira 200,000 ringgit.
Suspek terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an ditahan berasingan ketika hadir memberi keterangan di SPRM Segamat.
Penahanan dilakukan antara pukul 11 pagi hingga 2 petang hari ini berdasarkan siasatan awal SPRM.
Kesemua suspek disyaki bersubahat dengan memperakukan dan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran bekalan lembu betina.
Tuntutan berjumlah kira-kira 200,000 ringgit itu dibuat meskipun pembekalan itu tidak dilakukan kepada sebuah badan berkanun di sebuah daerah di Johor.
Suspek terdiri daripada seorang pemilik dan pengurus syarikat dipercayai melakukan perbuatan itu pada Februari 2023.
Pengarah SPRM Johor Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tiga daripada lima suspek terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Segamat esok bagi permohonan reman. – Bernama