KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang akan melawat Malaysia bulan depan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Beliau turut mendedahkan Presiden Rusia Vladimir Putin sedang menimbang dengan serius lawatan ke Malaysia susulan pertemuan terbaru antara kedua-dua pemimpin di Beijing.
“Trump telah menghubungi saya dan memaklumkan bahawa beliau akan menghadiri sidang kemuncak itu, yang turut akan dihadiri oleh Perdana Menteri China Li Qiang.
“Presiden Putin bertemu saya di Beijing dan berkata beliau sedang menimbang dengan serius untuk datang ke Malaysia. Jadi, kita akan ada Donald Trump, Presiden Putin, dan Li Qiang,” katanya.
Anwar berkata lawatan peringkat tinggi ini menekankan kepentingan geopolitik Malaysia yang semakin meningkat walaupun di tengah ketidaktentuan global.
Beliau menyatakan keyakinannya terhadap daya tahan Malaysia dari segi ekonomi dan domestik dalam menghadapi cabaran semasa.
“Tiada sebab, sama sekali tiada sebab, mengana kita tidak boleh mengatasi cabaran kerana asas kita telah kukuh,” katanya.
Mengenai kestabilan domestik, Perdana Menteri menegaskan pentadbirannya komited memastikan kestabilan politik dan kejelasan ekonomi sebagai pemacu utama keyakinan pelabur.
Beliau menekankan fokus terhadap dasar yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi termasuk dalam bidang semikonduktor nasional, peralihan tenaga, dan transformasi digital.
Anwar menambah bahawa keamanan dan kestabilan Malaysia bersama kepelbagaian ekonomi dan budaya menjadikannya rakan yang dipercayai dalam rantau ini. – Bernama