SPRM tiada siasatan aktif atau fail dibuka terhadap Azhari Shaari

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan tiada sebarang rekod siasatan aktif atau fail dibuka terhadap Pemangku Pengerusi Halal Development Corporation (HDC) Datuk Azhari Shaari berdasarkan semakan 30 Oktober 2024.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM menyatakan penjelasan itu dibuat susulan permohonan semakan tapisan keutuhan yang dikemukakan oleh HDC terhadap Azhari.

Berdasarkan semakan SPRM pada 30 Oktober 2024, didapati pada tarikh permohonan tersebut tiada sebarang rekod siasatan aktif atau fail terbuka terhadap penama.

Maklum balas rasmi telah dikemukakan kepada pihak HDC pada 4 November 2024 memaklumkan secara faktanya bahawa tiada siasatan aktif sedang dijalankan oleh SPRM terhadap penama ketika itu.

SPRM bagaimanapun mengesahkan bahawa bagi tujuan rekod, Azhari pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda RM1,900 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Oktober 2023.

Rekod sabitan tersebut masih wujud dalam Portal Data Pengkalan Rasuah SPRM.

Sehubungan itu, SPRM menegaskan bahawa setiap tapisan keutuhan yang dijalankan adalah bertujuan sebagai panduan kepada pihak pemohon dan tidak bersifat mengikat.

SPRM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh mengelirukan atau menjejaskan proses semakan keutuhan yang dijalankan secara profesional dan berintegriti.

SPRM komited untuk terus memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam setiap proses semakan dan siasatan yang dijalankan selaras dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dilapor mempersoalkan keberadaan Azhari dalam lembaga pengarah HDC. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *