IPOH: Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Kehakiman Syariah Perak sentiasa berusaha menyantuni masyarakat yang memerlukan perkhidmatan perundangan syariah yang lebih cekap dan pantas dengan menjadikan mahkamah syariah lebih mesra rakyat.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bagi memastikan rakyat mendapat akses lebih mudah terhadap keadilan syariah, setiap bangunan mahkamah syariah di Perak direka bentuk dengan teliti, termasuk menempatkan kedua-dua bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah di bawah satu bumbung.
Beliau berkata pendekatan inovatif itu bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan pentadbiran kehakiman syariah, selain menyediakan kemudahan lengkap antaranya penjabat pendaftaran dan dewan bicara untuk ketiga-tiga mahkamah.
Inisiatif kerajaan negeri untuk memperkasakan peranan mahkamah syariah tidak terhenti setakat menyediakan kemudahan semata-mata kerana ia sentiasa ditambah baik dengan keadaan premis mahkamah khususnya melibatkan bangunan lama, kemudahan serta peralatan usang sentiasa diganti.
Langkah itu dilakukan supaya lebih praktikal dan sesuai dengan perkembangan teknologi terkini untuk membolehkan orang ramai lebih mesra dengan Mahkamah Syariah dan yakin kepada urusan Mahkamah Syariah di negeri Perak.
Saarani berkata peratusan bagi baki kes berkaitan perceraian juga sentiasa terkawal apabila pada 2023 hanya 0.2 peratus sahaja kes-kes berkaitan yang tidak selesai dan dipantau Petunjuk Prestasi Utama penyelesaian dengan jumlah 23 kes daripada keseluruhan 12,501 kes dalam prosiding.
Pada 2024 jumlah baki kes berkaitan perceraian yang dipantau penyelesaiannya menurun kepada hanya 0.01 peratus dengan jumlah hanya 10 kes daripada keseluruhan 13,373 kes dalam prosiding.
Pada 2025 sebanyak 36 kes telah disenaraikan dalam KPI pemantauan penyelesaian kes berkaitan perceraian dan hingga Jun 2025, sebanyak 50 peratus daripada jumlah itu telah diselesaikan dengan baki 18 kes. – Bernama