KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia menahan pengarah dan pengurus dua syarikat berlainan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras.
Kegiatan kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dan 40-an itu terbongkar selepas SPRM menjalankan Op Lung bermula 9 September lepas.
Mereka ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM semalam.
Serbuan turut dilakukan di 15 syarikat dan lima premis perniagaan yang dikenal pasti sebagai gudang simpanan haram.
Hasil serbuan tersebut menemukan minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk tanpa pengisytiharan cukai kepada kerajaan.
Kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 12 September selepas majistret membenarkan permohonan reman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata nilai cukai yang tidak diisytiharkan dianggarkan bernilai 500,000 ringgit.
Jumlah itu dijangka meningkat berikutan siasatan lanjut terhadap beberapa lagi premis yang dikenal pasti.
SPRM telah membekukan 14 akaun syarikat dan empat akaun individu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
Jumlah keseluruhan wang yang dibekukan ialah 2.4 juta ringgit dan dijangka meningkat susulan pengesanan penglibatan lebih banyak syarikat.
Siasatan SPRM kini tertumpu kepada elemen rasuah, penipuan melalui pengisytiharan palsu serta pengubahan wang haram.
SPRM menjangkakan lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket itu. – Bernama