SEREMBAN: Mesyuarat ke-12 Kumpulan Kerja mengenai Statistik Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa (WGSITS12) berlangsung pada 8-9 September menjadi platform penting ASEAN untuk mengukuhkan kerjasama serantau.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menekankan pentingnya kebolehbandingan dan peningkatan kualiti serta ketepatan masa statistik perdagangan perkhidmatan selaras dengan piawaian antarabangsa.
Beliau yang juga Pengerusi Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 menyatakan statistik yang diyakini dan berwawasan sangat penting untuk menyokong penggubalan dasar ASEAN, integrasi ekonomi dan pembangunan mampan.
“Dalam perkembangan pesat ekonomi global hari ini, statistik perdagangan dan perkhidmatan antarabangsa perlu disesuaikan dengan pendigitalan, model perniagaan baharu dan perubahan aliran pelaburan semasa,“ katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Uzir menegaskan melalui WGSITS, sistem statistik ASEAN akan kekal relevan, boleh dibandingkan dan diyakini untuk memacu keputusan berasaskan bukti serta pertumbuhan serantau yang mampan.
WGSITS12 dihadiri 22 peserta dari negara anggota ASEAN bersama wakil Malaysia dan Sekretariat ASEAN (ASEANstats) yang berlangsung di Port Dickson.
Mesyaurat tersebut berperanan sebagai platform menilai kemajuan inisiatif terdahulu dan merangka hala tuju lima tahun akan datang.
Para delegasi membincangkan pencapaian dan cabaran dalam penyediaan serta perkongsian statistik perdagangan perkhidmatan termasuk cara data dikumpul dan diterbitkan di seluruh rantau.
Sesi itu juga menumpukan penyediaan pelan kerja baharu bagi 2026–2030 dengan menyelaraskan statistik perdagangan perkhidmatan kepada matlamat ekonomi ASEAN yang lebih luas.
Peserta bertukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama melalui Kerangka ASEAN Membantu ASEAN serta menerima maklumat terkini mengenai garis panduan antarabangsa.
Delegasi mengambil maklum mengenai prestasi kukuh perdagangan perkhidmatan antarabangsa ASEAN pada 2024 yang meningkat 12.2% kepada US$1.3 trilion.
Eksport meningkat sebanyak 14.0% kepada US$667.9 billion manakala import naik sebanyak 10.2% kepada US$618.5 billion sehingga mencatatkan lebihan dagangan US$49.3 billion.
Perdagangan perkhidmatan intra-ASEAN turut berkembang dengan eksport meningkat 13.1% kepada US$92.0 billion manakala import sebanyak 13.3% kepada US$85.9 billion.
Perdagangan intra-ASEAN merangkumi hampir 14.0% daripada jumlah sektor perdagangan perkhidmatan di peringkat serantau.
Momentum positif ini menonjolkan pemulihan dalam perkhidmatan pelancongan dan pengangkutan serta pertumbuhan berterusan perkhidmatan digital dan perniagaan di seluruh ASEAN.
Sebagai sebahagian daripada kepengerusian Malaysia, Jabatan Perangkaan membentangkan pelan kerja kebangsaan serta pengalaman dalam penyediaan Statistik Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa.
Pelan kerja ini bertujuan meningkatkan kualiti data, mempercepat ketepatan masa dan memperluas liputan selaras dengan piawaian antarabangsa.
Pelan kerja tersebut juga mencerminkan inisiatif Malaysia untuk mengharmonikan sistem survei dan memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan utama.
Inisiatif ini juga menangani cabaran penyediaan statistik melalui inovasi dan penambahbaikan teknikal untuk masa depan yang lebih baik. – Bernama