Mesyuarat AMMTC ke-19 perhebat usaha perangi jenayah rentas sempadan ASEAN

MELAKA: Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 diteruskan hari ini dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempengerusikan perbincangan peringkat tinggi mengenai usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Saifuddin Nasution tiba di lokasi mesyuarat kira-kira 8.30 pagi diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman.

Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan wakil negara anggota ASEAN.

Mesyuarat yang dipengerusikan Saifuddin Nasution turut disertai rakan dialog ASEAN+3 iaitu China, Jepun dan Korea Selatan bagi memperkukuh kerjasama serantau.

Perbincangan hari ini menumpukan kepada usaha memperhebatkan tindakan menentang penyeludupan migran dan pemerdagangan orang menerusi siasatan rentas sempadan yang lebih bersepadu, penyelarasan undang-undang serta penguatkuasaan secara bersama.

Mesyuarat turut bersetuju menubuhkan Kumpulan Kerja SOMTC mengenai pengubahan wang haram bagi memutuskan aliran kewangan yang menjadi sumber kegiatan jenayah terancang.

AMMTC ke-19 juga akan memuktamadkan Program Kerja SOMTC 2026-2028 sebagai pelan inklusif dan kukuh dari segi teknikal yang dimiliki bersama oleh semua negara anggota ASEAN.

Mesyuarat turut merangka Pelan Tindakan ASEAN 2026-2035 untuk memerangi jenayah rentas sempadan dengan persediaan menghadapi ancaman baharu seperti penipuan siber, eksploitasi dalam talian dan penipuan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Melaka menjadi hab serantau apabila menteri-menteri ASEAN serta pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan dan pencegahan jenayah berkumpul dari 8 hingga 12 September bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.

Acara ini diadakan bersempena Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan komitmen negara untuk membina Komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *