Malaysia kecam serangan udara Israel ke atas Doha di Qatar

KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha di Qatar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan itu sebagai pencerobohan terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar.

Beliau berkata serangan tersebut merupakan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa.

“Tindakan itu membahayakan nyawa orang awam dan serangan ke atas ibu negara yang berdaulat.”

Anwar menambah bahawa insiden itu boleh mencetuskan ketegangan di rantau yang sudah pun rapuh.

Beliau menyatakan menyasarkan Qatar sebagai pusat usaha pengantaraan dan dialog di Timur Tengah merupakan penghinaan mutlak terhadap keamanan dan diplomasi.

“Serangan itu sama sekali tidak boleh dipertahankan dan diterima.”

Malaysia berdiri teguh bersama Qatar dan menggesa masyarakat antarabangsa memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pencerobohan tersebut.

Agensi Berita Qatar melaporkan Qatar mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang menyasarkan bangunan kediaman menempatkan beberapa anggota Biro Politik Hamas di Doha.

Qatar menyifatkan serangan itu sebagai pencabulan jelas terhadap undang-undang serta norma antarabangsa.

Insiden tersebut juga mencetuskan ancaman serius terhadap keselamatan rakyat Qatar serta penduduk lain.

Kementerian Luar Qatar menyatakan pasukan keselamatan dan pertahanan awam telah mengambil langkah-langkah segera menangani insiden itu.

Pihak berkuasa berkaitan telah melaksanakan tindakan sewajarnya untuk mengekang kesan serangan tersebut.

Langkah-langkah juga diambil untuk memastikan keselamatan penduduk dan kawasan sekitar lokasi kejadian. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *