Malaysia gesa kerjasama lebih erat angkatan tentera ASEAN

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa ASEAN untuk mengambil langkah berani dalam mempertingkatkan kesalingoperasian dan memperluas latihan bersama.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menekankan pentingnya mengukuhkan rangka kerja operasi untuk rondaan maritim, memerangi keganasan, pertahanan siber dan bantuan bencana.

Beliau berkata kerjasama dalam bidang itu akan memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat ASEAN dan mendesak negara anggota untuk mengesahkan semula perjanjian sedia ada.

“Sesetengah isu rumit, malah sensitif, namun mengelaknya tidak akan menghilangkannya,“ katanya dalam ucapan perasmian pada Mesyuarat Ketua-Ketua Angkatan Pertahanan ASEAN (ACDFM) ke-22.

Mohd Nizam menegaskan bahawa dengan menangani isu terbabit secara terbuka dan dengan rasa hormat, ASEAN dapat memperkukuh kepercayaan untuk menghadapi masa depan dengan penuh yakin.

Beliau berkata ACDFM telah matang menjadi sebuah platform yang dipercayai untuk membina persefahaman dan mengeratkan kerjasama dalam kalangan angkatan tentera.

Katanya rantau ini berdepan peningkatan permintaan terhadap angkatan tenteranya yang memerlukan pertimbangan kukuh dan pandangan jauh berstrategi.

“Asas kerjasama telah kukuh namun sudah tiba masanya untuk memberikan lebih kepentingan pada hubungan yang telah kita bina,“ katanya.

Mohd Nizam berkata ACDFM tahun ini menandakan satu langkah ke hadapan dalam perpaduan, kemajuan dan keselamatan kolektif rantau ini.

Beliau mengingatkan pemimpin pertahanan bukan sahaja untuk bertindak balas terhadap krisis tetapi untuk menjangkakannya terlebih dahulu.

“Saya telah melihat profesionalisme dan dedikasi yang mentakrifkan komuniti tentera ASEAN kita,“ katanya.

Mohd Nizam juga menyatakan bahawa beliau telah melihat betapa rapuhnya keamanan dan betapa cepatnya kestabilan boleh diuji.

Beliau menegaskan bagaimana rasa selesa dan berpuas hati boleh mengundang bencana jika tidak diuruskan dengan baik. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *