KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang membangunkan Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (PT OKU) yang baharu sebagai kesinambungan kepada pelan terdahulu.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pembangunan pelan baharu ini mengambil kira input daripada pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil serta agensi berkaitan.
Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya (MKB OKU) yang bersidang pada 23 Julai lepas telah meneliti pencapaian PT OKU sedia ada dengan kadar kejayaan 69.09%.
MKB OKU berpandangan supaya kadar pencapaian itu dipertingkatkan dalam PT OKU baharu dengan memastikan setiap kementerian dan agensi kerajaan bertanggungjawab melaksanakan program dalam tempoh ditetapkan.
Pembangunan PT OKU baharu juga akan mengenal pasti mekanisme pemantauan dan pelaporan yang sesuai bagi setiap program.
Pelan baharu ini turut mengambil kira dasar OKU sedia ada, pencapaian PT OKU terdahulu serta Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).
Pemantauan pelaksanaan PT OKU akan dilaksanakan secara inklusif melalui MKB OKU dan empat jawatankuasa di bawah majlis itu.
Kementerian telah merangka satu mekanisme pemantauan yang bersifat inklusif dan berstruktur dengan menyediakan saluran komunikasi untuk menerima pandangan serta aduan.
Pemantauan turut dibuat melalui penilaian berkala seperti kajian separuh penggal serta mesyuarat rentas kementerian yang dipengerusikan oleh Menteri.
Daripada 10 jawatankuasa di bawah majlis, lapan daripadanya dilantik dalam kalangan OKU sendiri selari dengan keutamaan kerajaan terhadap kesejahteraan OKU di Malaysia.
KPWKM juga sedang memuktamadkan kerangka Rang Undang-Undang Penjagaan dan Perlindungan Warga Emas sebagai langkah komprehensif melindungi kebajikan golongan itu.
Ini sejajar dengan persediaan Malaysia menuju status negara tua menjelang 2030.
Kementerian telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dan akan meneruskan sesi seterusnya bagi memurnikan kerangka perundangan berkenaan.
Kerajaan melalui Kementerian Ekonomi juga sedang membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan atau National Aging Blueprint sebagai panduan strategik menghadapi cabaran negara tua.
Rangka tindakan ini merangkumi pendekatan rentas kementerian termasuk aspek infrastruktur sosial serta dasar berkaitan. – Bernama