SIBU: Kerjasama serantau adalah penting dalam menangani ancaman kesihatan rentas sempadan seperti rabies serta cabaran kesihatan awam lain.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menegaskan isu kesihatan tidak boleh dilihat secara bersendirian.
Beliau menyatakan kerjasama antara Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan adalah penting untuk memastikan perlindungan bersama serta penyelesaian yang mampan.
“Misalnya, rabies bukan sahaja sekadar isu untuk dibasmi di Sarawak sahaja,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kesihatan Borneo Pertama dan Persidangan Kesihatan Sarawak ke-41.
Dr Sim menekankan perlunya mengambil kira langkah pencegahan agar rabies tidak merebak ke jiran seperti Brunei dan Sabah yang mungkin mempunyai sumber veterinar yang terhad.
Beliau berkata perkongsian kepakaran, penggabungan sumber serta pembentukan kerjasama rentas sempadan akan membantu Borneo menangani penyakit berjangkit dan tidak berjangkit dengan lebih berkesan.
“Kesihatan untuk semua bukan sahaja melibatkan pengamal perubatan, tetapi juga pembuat dasar, pihak berkuasa tempatan, universiti, industri, malah pakar veterinar perlu bersatu.”
Dr Sim menambah kerjasama serantau memastikan tiada komuniti yang tercicir dalam usaha mencapai kesihatan yang lebih baik.
Beliau berkata Sarawak semakin diiktiraf sebagai peneraju dalam landskap kesihatan Borneo dengan kemudahan, keupayaan penyelidikan klinikal dan inisiatif dasar negeri menjadi rujukan bagi rantau lebih luas.
“Dengan kemudahan baharu seperti Pusat Kanser Sarawak, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak dan Pusat Jantung Satelit, Sarawak boleh memainkan peranan utama dalam memperkukuh kapasiti penjagaan kesihatan bagi seluruh pulau ini.”
Dr Sim turut menzahirkan tahniah kepada penganjur kerana menganjurkan kedua-dua acara berturut-turut itu.
Beliau menyifatkan persidangan berkenaan sebagai langkah penting ke arah membina Borneo yang lebih sihat dan bersatu.
Kedua-dua persidangan itu dianjurkan Persatuan Pengamal Kesihatan Awam Sarawak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Sarawak.
Acara ini telah menghimpunkan hampir 450 peserta termasuk pengamal kesihatan dari Singapura, Sabah dan negeri lain di Malaysia.
Acara ini meneruskan legasi Persidangan Kesihatan Negeri Sarawak yang telah diadakan sejak 1973 dengan edisi terakhir siri tersebut dianjurkan pada 2022. – Bernama