Kastam Pulau Pinang gagal cubaan seludup 125 tan sekerap tembaga RM5 juta

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 125 tan sekerap tembaga bernilai lebih RM5 juta di Pelabuhan Butterworth Utara pada 22 Julai lalu.

Pengarahnya Datuk Rohizad Ali menyatakan kesemua barangan itu ditemui hasil pemeriksaan ke atas lima kontena yang tiba dari Thailand.

“Siasatan mendapati dagangan itu diikrarkan sebagai komponen elektronik terpakai dalam borang kastam tetapi pemeriksaan menemukan 125 tan sekerap tembaga bernilai RM5.29 juta,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.

Tiga individu termasuk seorang wanita berusia antara 40 hingga 60 tahun yang juga pemilik syarikat dan ejen telah ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau menjelaskan sekerap logam yang diimport diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Perintah Kastam 2023 yang memerlukan permit daripada SIRIM Berhad.

Dalam kes berasingan, Rohizad berkata pihaknya merampas 438,824 batang rokok dan 1,377.6 liter minuman keras pelbagai jenama selepas menyerbu sebuah rumah di Padang Serai, Kedah.

Serbuan dilakukan pada awal bulan ini oleh Unit Operasi Penguatkuasaan Pulau Pinang hasil maklumat serta risikan yang diperoleh.

“Premis itu disyaki dijadikan sebagai stor penyimpanan barangan larangan import dengan nilai rampasan RM168,395 dan duti terlibat dianggarkan berjumlah RM366,444,” katanya.

Kedua-dua kes masih disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman berat jika sabit kesalahan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *