Jerayawara Tribunal Anti-Buli bermula esok di Putrajaya – Fahmi

PUTRAJAYA: Siri jerayawara bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung cadangan penubuhan Tribunal Anti-Buli akan bermula esok.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli akan mengelola siri jerayawara di Putrajaya itu.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI menyatakan beliau sendiri akan hadir bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Mereka yang terlibat termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), guru-guru di negeri, dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru di pelbagai peringkat.

Turut serta ialah Suruhanjaya Kanak-Kanak, agensi kerajaan, pengamal undang-undang dan kaunselor sekolah dengan sesi tersebut terbuka kepada orang ramai.

Fahmi berkata siri jerayawara itu juga akan diadakan di negeri lain termasuk Negeri Sembilan pada 17 September, Selangor pada 18 September, Johor pada 19 September dan Melaka pada 22 September.

Mengenai tarikh dan maklumat tepat mengenai lokasi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan terbitkan maklumat dalam masa yang terdekat.

Fahmi sebelum ini berkata siri jerayawara akan diadakan di seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas berhubung cadangan penubuhan Tribunal Anti-Buli.

Ini merupakan usaha memastikan Malaysia mempunyai mekanisme pencegahan buli yang mantap, adil dan berkesan.

BHEUU menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan penggubalan Rang Undang-Undang Tribunal Anti-Buli antara cadangan diteliti pada Mesyuarat Mengenai Usaha-Usaha Memperkukuh Mekanisme Pencegahan Buli di Malaysia.

Mesyuarat itu turut meneliti aspek memperkukuh kerangka undang-undang sedia ada dengan memasukkan elemen pemulihan dan perlindungan kanak-kanak.

Ini bagi memastikan sistem perundangan diamalkan tidak hanya berfokus kepada aspek penghukuman. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *