DBKL selaras penempatan pegawai kanan terlibat siasatan SPRM

KUALA LUMPUR: Penempatan dan tugasan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah diselaraskan semasa siasatan dijalankan.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mereka memandang serius sebarang isu berkaitan integriti, ketelusan dan tadbir urus.

Komitmen DBKL adalah untuk memastikan setiap urusan pentadbiran dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan berintegriti selaras dengan nilai perkhidmatan awam yang berteraskan amanah rakyat.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata empat individu ditahan menerusi Ops DBKL termasuk seorang pegawai kanan gred Jusa B.

Seramai 16 individu telah dirakam percakapan dalam operasi tersebut.

SPRM sebelum ini dilapor menyita wang tunai lebih 200,000 ringgit, empat peranti telekomunikasi, dan dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper.

Barangan lain yang disita termasuk beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton dalam siasatan kes itu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *