MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengambil tindakan ke atas 335 kenderaan perdagangan atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi khas yang dijalankan di beberapa kawasan tumpuan di negeri itu.
Pengarahnya Siti Zarina Mohd Yusop berkata sebanyak 648 notis saman juga dikeluarkan dalam tempoh sama selain tiga kenderaan barangan yang dikesan lebih muatan disita.
“Sepanjang sembilan hari Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan dijalankan, JPJ Melaka telah memeriksa sebanyak 13,116 kenderaan dan 2,034 daripada kenderaan itu merupakan kenderaan barangan.”
“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 335 kenderaan perdagangan diambil tindakan melibatkan 150 kenderaan barangan berat kurang daripada 7,500 kilogram, kenderaan barangan berat melebihi 7,500kg (168), bas ekspres (lapan), bas persiaran (lapan) dan e-hailing (satu),“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Hentian Rehat dan Rawat Jejantas Ayer Keroh, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara.
Siti Zarina menambah tujuh kertas siasatan kes lebih muatan melibatkan kenderaan barangan dan dua kertas siasatan kenderaan perkhidmatan awam dibuka untuk tindakan lanjut.
Kesalahan tersebut melibatkan bas persiaran kerana tiada senarai penumpang serta melanggar syarat lesen pengendali di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Dalam operasi sama yang dijalankan hari ini, sebanyak lapan daripada 10 kenderaan barangan yang diarah timbang didapati lebih muatan.
Katanya kenderaan yang membawa muatan bahan binaan, kelapa sawit, baja dan dedak ayam itu turut dikompaun atas kesalahan itu. – Bernama