KOTA TINGGI: Rang Undang-Undang Tribunal Antibuli dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Oktober ini, lebih awal daripada tempoh enam bulan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan kementeriannya sedang melaksanakan siri jelajah dan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Atas persetujuan beberapa menteri yang terlibat secara langsung dan tidak langsung seperti Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan Tinggi, Menteri Pertahanan, Menteri Komunikasi, kita harap bulan September ini kita boleh selesaikan jerayawara.”
Beliau menyatakan harapan untuk mendapatkan keputusan Kabinet pada hujung September atau awal Oktober supaya rang undang-undang ini boleh dibawa ke persidangan Parlimen.
Azalina berkata kerajaan mahu mendengar pandangan orang ramai mengenai cadangan penubuhan tribunal berkenaan melalui sesi jelajah yang dijalankan.
Tribunal ini dilihat mampu mempercepat pendengaran kes berbanding proses mahkamah yang mengambil masa panjang.
“Tribunal ini lebih luas kuasanya boleh lihat semua inti pati dan ada juga mungkin dalam elemen tribunal itu boleh tengok kepada aspek ganti rugi seperti membayar denda.”
Hukuman tidak semestinya penjara tetapi mungkin termasuk membayar denda atau menghadiri kursus dengan proses yang lebih cepat.
Sebuah portal khas akan dilancarkan bagi mendapatkan pandangan masyarakat selain sesi libat urus bersama badan profesional.
Portal tersebut akan melibatkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Majlis Peguam, bar negeri, pertubuhan antarabangsa serta pakar berkaitan.
Azalina menegaskan tribunal itu bukan semata-mata bertujuan menghukum tetapi turut memberikan ruang kepada proses rehabilitasi.
Pendekatan keadilan restoratif akan digunakan untuk memberi manfaat kepada mangsa dan pelaku.
“Kalau kita ada sistem tribunal yang cepat, orang nak melakukan perkara itu dia kena fikir banyak kali sebab dia tahu cepat.”
Beliau memberi contoh positif tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual yang menunjukkan respons sangat baik disebabkan prosesnya yang cepat.
Azalina telah diberi tempoh enam bulan oleh Ahmad Zahid Hamidi untuk membentangkan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri.
Tempoh tersebut bermula selepas menjalankan sesi libat urus bersama dengan semua pihak berkepentingan di seluruh negara. – Bernama