Persiapan Hari Malaysia 2025 di PICCA Butterworth capai 85 peratus

GEORGE TOWN: Persiapan sambutan Hari Malaysia 2025 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth pada 16 September ini kini berada pada tahap 85 peratus.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Muhamad Ghopran Yeop Hamzah berkata persiapan berjalan lancar dengan baki lapan hari sebelum acara kemuncak berlangsung.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan melaksanakan laluan jalan sehala di hadapan PICCA sebagai langkah melancarkan aliran trafik pada hari sambutan.

Kerajaan negeri turut mengadakan raptai penuh sehari sebelum acara berlangsung.

Beberapa sesi temu bual media turut diatur sebagai usaha mempromosikan sambutan berkenaan.

Muhamad Ghopran berkata dewan utama PICCA mempunyai kapasiti 6,000 pengunjung pada satu-satu masa.

Kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan yang mencukupi untuk pengunjung termasuk tempat letak kereta dan trak makanan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata seluruh rakyat dialu-alukan hadir beramai-ramai ke Arena PICCA bagi memeriahkan sambutan bersejarah.

Sambutan ini buat kali pertama diadakan di negeri Pulau Pinang.

Sambutan ini merupakan kesempatan baik untuk menghimpunkan rakyat dari setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Acara ini menampilkan kepelbagaian budaya dan memperkukuh semangat perpaduan.

Chow Kon Yeow percaya semangat kebersamaan antara rakyat Semenanjung, Sabah dan Sarawak dapat terus diperkukuh melalui sambutan ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *