Perbicaraan Syariah dalam talian kini dilaksanakan di Kelantan

KOTA BHARU: Kelantan menjadi negeri kedua selepas Sarawak yang mewujudkan Dewan Mahkamah Teknologi bagi melaksanakan perbicaraan secara dalam talian, kata Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Ibrahim Deris.

Beliau berkata kemudahan yang diwujudkan di Mahkamah Syariah negeri itu sejajar dengan perkembangan teknologi semasa dan mampu memudahkan urusan perbicaraan bagi pihak yang mempunyai halangan untuk hadir secara fizikal.

“Bagaimanapun, prosiding dalam talian hanya dibenarkan bagi kes-kes mal (harta) seperti pengesahan hibah, perceraian, nafkah, harta sepencarian dan sebagainya. Ia khusus kepada pihak yang tidak dapat hadir atas faktor kesihatan, jarak atau kekangan tertentu manakala kes jenayah syariah tidak dibenarkan dijalankan secara maya bagi memastikan tatacara kehakiman dan kedudukan hukum terus terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Dewan Mahkamah Teknologi di Mahkamah Syariah Kelantan di sini hari ini.

Ibrahim menjelaskan dengan adanya dewan perbicaraan secara dalam talian itu, ia bukan sahaja memudahkan pihak yang berhalangan untuk berada dalam perbicaraan malah membantu mengurangkan kes tertunggak akibat ketidakhadiran saksi.

“Sebagai contoh, terdapat kes pengesahan hibah melibatkan saksi dari Australia yang tidak dapat pulang dalam masa terdekat. Jika menunggu kepulangannya, kes mungkin tertangguh sehingga tahun berikutnya namun dengan adanya kemudahan ini ia dapat diselesaikan lebih cepat.

“Setakat ini, antara kes yang banyak dibicarakan secara dalam talian ialah melibatkan harta pusaka, wasiat dan hibah,” katanya.

Mengikut garis panduan, kes harta biasanya mengambil masa sekitar setahun namun dengan inisiatif tersebut, ia boleh diselesaikan dalam tempoh kurang setahun malah ada yang selesai hanya sehari atau dua hari sekiranya semua pihak memberikan kerjasama – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *