BATU PAHAT: Seorang peniaga wanita mengalami kerugian sebanyak RM571,242 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui iklan di Facebook.
Mangsa berusia 55 tahun itu mula berurusan dengan suspek yang tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp selepas tertarik dengan tawaran pulangan keuntungan tinggi yang diiklankan pada 16 Mac 2024.
Mangsa membuat beberapa transaksi ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM571,242 antara 10 hingga 31 Julai lepas.
Mangsa kemudian melihat paparan keuntungan sebanyak RM804,000 dalam aplikasi pelaburan tersebut.
Bagaimanapun, akaun berkenaan didapati disekat apabila mangsa cuba mengeluarkan wang tersebut.
Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.
Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat terkini mengenai jenayah komersial melalui portal rasmi Cyber Crime Alert.
Mangsa penipuan disaran menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas menyekat pengaliran keluar wang. – Bernama