Pahang perkukuh pelancongan dengan jelajah promosi ke India 2025

KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Tourism Pahang terus memperkukuh sektor pelancongan dengan menganjurkan Jelajah Promosi Pelancongan Pahang ke India 2025.

Inisiatif tersebut melibatkan dua bandar utama India iaitu New Delhi pada 24 September dan Chennai pada 26 September.

Jelajah promosi ini memberi tumpuan kepada jaringan perniagaan kepada perniagaan melibatkan ejen dan pengusaha pelancongan serta syarikat penerbangan.

Matlamat utama jelajah ialah memperkukuh kerjasama strategik antara industri pelancongan Pahang dan India serta membuka peluang bagi pakej percutian lebih menarik dan tersusun.

Antara produk pelancongan ikonik Pahang akan diperkenalkan ialah percutian tanah tinggi di Bukit Fraser, Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Destinasi pantai eksotik seperti Cherating dan Pulau Tioman turut dipromosikan bersama keunikan Taman Negara yang berusia lebih 130 juta tahun.

Pahang berhasrat menjadi destinasi pilihan utama pelancong India sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Inisiatif ini diharap dapat mengukuhkan kedudukan negeri sebagai The Heart of Malaysia dalam peta pelancongan antarabangsa. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *