KPKT lulus RM281.9 juta naik taraf 1,700 projek kemudahan awam

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan berjumlah RM281.9 juta bagi tempoh 2024 hingga 31 Julai lepas untuk menaik taraf kemudahan awam di seluruh negara.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu membabitkan 1,730 projek di bawah skop kemudahan awam termasuk penyelenggaraan dan menaik taraf tandas awam, dewan serba guna serta kemudahan rekreasi.

KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan turut menyediakan peruntukan projek kecil di bawah Projek Pembangunan BP.1 kepada 156 pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

Peruntukan ini berdasarkan permohonan PBT yang terbahagi kepada empat skop iaitu infrastruktur, kemudahan awam, sosioekonomi dan keselamatan.

Nga menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa yang ingin tahu sasaran pembaharuan dalam mereformasi pembersihan awam negara terutama dalam memastikan selenggaraan kawasan taman awam dan kemudahan rekreasi dipelihara.

Beliau berkata bagi negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, kerajaan Persekutuan melalui KPKT melantik tiga syarikat konsesi untuk melaksanakan perkhidmatan kutipan sisa pepejal serta pembersihan termasuk di taman awam.

Bagi negeri yang tidak menerima pakai akta berkenaan, pembersihan taman awam terletak di bawah bidang kuasa PBT masing-masing.

KPKT mengalu-alukan penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan dan dron bagi membantu pemantauan kebersihan serta kerosakan kemudahan awam.

Pelaksanaan teknologi terkini akan dibuat secara berperingkat memandangkan PBT mempunyai tiga peringkat berbeza iaitu bandar raya, perbandaran dan majlis daerah.

Nga menjawab soalan tambahan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai penggunaan teknologi AI untuk memantau kebersihan dan kerosakan di taman-taman awam di seluruh negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *