Dua lelaki ditahan polis ugut PM, kerajaan di media sosial

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki berumur 44 dan 45 tahun kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur ugutan jenayah, hasutan serta dakwaan tidak benar terhadap kerajaan dan Perdana Menteri melalui media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata tangkapan pertama melibatkan lelaki berumur 45 tahun yang disyaki membuat satu hantaran menerusi akaun TikTok bernama Mohd Soie (@mohd.soie3) yang mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap kerajaan.

Tangkapan seterusnya melibatkan seorang lagi lelaki berumur 44 tahun yang disyaki membuat satu komen berunsur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Malaysia menggunakan akaun Facebook Mdjohan Ngadin.

Kedua-dua lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kumar berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja membuat, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan berunsur hasutan, ugutan jenayah, berita palsu atau apa-apa kandungan yang boleh menimbulkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *