KOTA BHARU: Sebanyak 35 kematian akibat penyakit Tuberkulosis (TB) dicatatkan di Kelantan sejak Januari hingga Julai tahun ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata sebanyak 636 kes TB dilaporkan dalam tempoh yang sama.
Kota Bharu kekal di kedudukan pertama dengan 178 kes, diikuti Pasir Mas (80 kes) dan Tumpat (75 kes).
Sebanyak 14 wabak TB dikesan sehingga Julai 2025 melibatkan tujuh daerah dengan Kota Bharu merekodkan bilangan wabak tertinggi.
Kebanyakan wabak melibatkan isi rumah dengan purata dua kes dalam kalangan kontak rapat kepada kes indeks.
Golongan berisiko di Kelantan kebanyakannya warga emas berusia 65 tahun ke atas dan berbangsa Melayu.
Mereka juga mempunyai penyakit bersama seperti diabetes serta tabiat merokok.
JKNK melaksanakan pelbagai langkah untuk membendung penularan termasuk promosi kesedaran mengenai pencegahan.
Pemeriksaan segera kepada individu yang mengalami gejala batuk berpanjangan turut dilaksanakan.
Saringan golongan berisiko tinggi menggunakan teknologi diagnostik terkini juga dijalankan.
Pemantauan rawatan diperkukuh bagi memastikan pesakit mematuhi terapi yang ditetapkan.
Kapasiti petugas kesihatan dalam pengurusan TB yang berkesan turut ditingkatkan.
Sepanjang tahun 2024, sebanyak 1,049 kes TB dicatatkan dengan 99 kematian. – Bernama