KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Suria KLCC hari ini menjelaskan berhubung satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan interaksi antara anggota keselamatan mereka dengan seorang pengunjung di satu daripada pintu masuk pusat beli-belah itu.
Pihak pengurusan dalam kenyataan memaklumkan insiden itu berlaku apabila seorang pengunjung diminta untuk tidak membawa sebatang kayu panjang ke dalam pusat beli-belah itu, selaras dengan prosedur keselamatan yang melarang sebarang barangan yang berpotensi mendatangkan risiko keselamatan atau mengganggu keselesaan pengunjung.
“Kami ingin menjelaskan bahawa langkah ini adalah prosedur operasi standard berhubung keselamatan yang terpakai kepada semua pengunjung, dan ingin menegaskan tindakan kami tidak didasari oleh sebarang pendirian politik,” menurut kenyataan itu.
Pihak pengurusan turut menekankan prosedur keselamatan itu dilaksanakan kepada semua pengunjung tanpa pengecualian.
Kenyataan itu turut menegaskan keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa menjadi keutamaan, sambil menghargai kerjasama dan pemahaman orang ramai dalam usaha pihaknya mengekalkan persekitaran yang selamat dan teratur untuk semua- BERNAMA