PM hulur sumbangan kepada veteran ATM Mohd Rawi yang hidap penyakit saraf

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Rawi Hussin yang menghidap menyakit saraf.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Mohd Rawi di kediamannya di Taman Balok Pantai, Kuantan, Pahang.

Ahmad Farhan berkata sumbangan tunai serta bakul makanan diberikan kepada Mohd Rawi sebagai tanda kasih dan penghargaan walaupun jasa dan pengorbanan beliau jauh lebih besar daripada apa sahaja yang mampu dibalas.

“Saat kami tiba di kediamannya, Pakcik Mohd Rawi Hussin tidak dapat menahan sebak. Air matanya terus mengalir sebaik kami menyapa. Beliau seorang veteran ATM yang menghidap penyakit saraf, namun kekal sabar dan tabah menghadapi kehidupan sehari-hari.

“Hari Malaysia bukan sekadar tarikh dalam kalendar, tetapi juga ruang untuk kita mengenang jasa para pejuang bangsa. Pakcik Rawi adalah antara wira itu yang pernah berkorban demi tanah air, membolehkan kita hari ini hidup dalam suasana aman dan merdeka,” katanya menerusi hantaran di Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri.

Ahmad Farhan turut mendoakan supaya Mohd Rawi dikurniakan kesihatan, kekuatan dan ketenangan serta menjadikan pengorbanannya sebagai amal jariah yang berkekalan.

Seorang lagi veteran ATM Othman Ramli dari Taman Balok Jaya 2, Kuantan turut menerima sumbangan tunai dan bakul makanan daripada Perdana Menteri sebagai tanda prihatin dan penghargaan kepada jasa beliau.

Ahmad Farhan dalam hantaran Facebook berasingan yang turut dikongsikan Anwar berkata Othman yang mesra dengan panggilan Pak Othman, dahulunya seorang yang begitu aktif, malah pernah menjadi bilal di masjid berdekatan.

“Namun, akibat dirundung sakit angin ahmar, beliau kini tidak lagi berupaya menyumbang tenaga dalam aktiviti kemasyarakatan seperti sebelum ini.

“Meskipun tubuhnya lemah, semangat beliau tetap kental tanda kasih dan bakti kepada tanah air yang tidak pernah pudar walau ditelan masa. Semoga Pak Othman terus diberi kesihatan, ketabahan dan keberkatan dalam menjalani kehidupan. Insya-Allah,“ katanya- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *