Polis tahan suspek ugut pakar patologi inkues Zara Qairina di Semporna

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki berusia 61 tahun di Semporna pagi ini kerana disyaki mengugut pakar patologi yang terlibat dalam inkues Zara Qairina Mahathir.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun menyatakan tangkapan dilakukan kira-kira pukul 7 pagi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna.

Beliau berkata polis menerima laporan pada Jumaat lepas mengenai kenyataan di laman Facebook yang mengandungi ugutan jenayah terhadap pakar patologi Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I Dr Jessie Hiu.

“Hasil semakan awal ke atas telefon bimbit jenama Redmi yang dirampas mendapati suspek merupakan pemilik akaun Facebook Amung Kamaruddin yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jauteh menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta mengelak kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Zara Qairina berusia 13 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lepas.

Beliau dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *