KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menyiasat sepenuhnya kes seorang peserta acara berbasikal Langkawi Legendary Ride (LLR) yang maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika perlumbaan di Langkawi, semalam.
Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata siasatan akan tertumpu kepada aspek keselamatan dalam penganjuran perlumbaan berkenaan.
“Kami tidak mahu mengulas lebih lanjut. Biarlah pihak polis melakukan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saya difahamkan ada video kemalangan tersebut yang sudah tular, bagaimanapun, biarlah polis yang siasat.
“Cuma, di pihak PKBM kami mahu siasat aspek keselamatan. Saya pasti semua peserta mengambil bahagian mahukan kejohanan yang diadakan dalam keadaan selamat untuk pelumba berlumba di jalan raya dan menepati syarat seperti ada marshall dan polis mencukupi sepanjang perlumbaan berlangsung untuk memastikan keadaan selamat
“Saya rasa ada sesuatu yang berlaku yang tidak sepatutnya berlaku. Inilah yang kami mesti siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata PKBM sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dalam semua penganjuran acara berbasikal, khususnya melibatkan penggunaan jalan raya awam termasuk mematuhi garis panduan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“PKBM juga akur dengan ketetapan Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan berhubung tatacara penggunaan serta penutupan jalan serta keperluan pengiring bermotor secukupnya.
“Kami sentiasa meminta semua penganjur kejohanan termasuk jambori agar mendapatkan kelulusan daripada PKBM sebelum mengadakan perlumbaan berskala besar,” katanya.
Beliau berkata PKBM akan menunggu hasil siasatan pihak polis dan memberi kerjasama penuh bagi memastikan insiden sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian pelumba di LLR sementara menunggu keputusan siasatan.
Dalam kejadian semalam, mangsa Low Beng Seng meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala di Jalan Kuala Muda, Kedah.
Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata siasatan awal mendapati mangsa menunggang bersama kumpulan Eagle Ride dalam kategori 68 kilometer apabila cuba mengelak daripada bertembung dengan peserta lain sebelum terjatuh ke laluan bertentang dan bertembung dengan kenderaan dari arah hadapan.
Acara LLR edisi kelima sejak 2019 itu menarik penyertaan 1,200 peserta melibatkan tiga kategori perlumbaan iaitu 101km, 68km dan 30km- BERNAMA