JOHOR BAHRU: Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeleweng 222,700 kilogram minyak sawit mentah dengan keseluruhan rampasan bernilai 2.6 juta ringgit dalam Operasi Taring Palma di Jalan Muar, Kampung Parit Awang dekat Batu Pahat, Khamis lepas.
Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA Supt Shohaiami Ismail berkata tujuh lelaki turut ditahan dalam operasi itu yang dijalankan Cawangan Risik Kompeni C Batalion 6 PGA Muar dan Cawangan Risik Batalion 5 PGA Simpang Renggam dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Hasil operasi turut merampas lima lori tangki yang disyaki digunakan untuk memindahkan minyak sawit mentah tanpa kebenaran selain pam penyedut minyak, alat jana kuasa, tangki simpanan pukal (IBC) dan peralatan lain,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua lelaki dan barangan rampasan diserahkan kepada MPOB Wilayah Selatan untuk siasatan di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
Kejayaan berkenaan membuktikan komitmen berterusan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) khususnya Briged Tengah PGA dan Batalion 6 PGA dalam membanteras kegiatan penyelewengan komoditi negara.
Shohaiami turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang. – Bernama