Persiapan Melaka untuk AMMTC ke-19 capai 90 peratus siap

MELAKA: Tahap persiapan dan kesiapsiagaan Kerajaan Negeri Melaka bagi keseluruhan program sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 mencapai 90 peratus.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad berkata Melaka turut bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi menyelaras pelbagai aspek termasuk sokongan logistik dan persiapan majlis perasmian.

“Penganjuran acara berprestij ini merupakan satu penghormatan besar serta pengiktirafan kepada Melaka sebagai destinasi pilihan penganjuran mesyuarat bertaraf antarabangsa.”

“Kerajaan negeri berbesar hati memainkan peranan penting dalam menyokong kerjasama serantau untuk menangani jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.”

Beliau berkata lebih 300 delegasi terdiri daripada negara anggota ASEAN, negara rakan dialog dan negara pemerhati Timor-Leste terlibat sepanjang AMMTC yang berlangsung selama lima hari.

Para delegasi dijadual tiba di Melaka bermula esok dan majlis perasmian AMMTC ke-19 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

Azhar berkata kerajaan negeri percaya penganjuran AMMTC Ke-19 akan mengukuhkan hubungan Melaka dengan negara anggota ASEAN dan rakan dialog.

Beliau berkata ia merupakan peluang besar untuk mempromosikan Melaka di mata dunia sebagai destinasi mesyuarat dan pelancongan bertaraf dunia.

AMMTC merupakan platform bagi menerajui usaha ASEAN dalam memerangi pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan yang diwujudkan sejak 1997.

Tujuan utama AMMTC adalah memperkukuh kerjasama antara negara anggota dalam menyelaras dasar, undang-undang dan perkongsian maklumat.

Mesyuarat kali ini memberi fokus pada peranan ASEAN sebagai sebuah rantau dalam menghadapi cabaran baharu jenayah rentas sempadan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *