Penghargaan SARA RM100 via MyKad mudahkan pembelian, elak wang tercicir

KUCHING: Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 secara sekali bayaran melalui MyKad memudahkan orang ramai membeli barangan keperluan harian dengan lebih cekap dan selamat.

Sharifah Hafizah Wan Adeni berkata mekanisme kerajaan itu bukan sahaja memudahkan transaksi malah lebih selamat dengan mengelak risiko kehilangan atau keciciran wang tunai terutama dalam kalangan warga emas.

Beliau mencadangkan lebih banyak premis perniagaan menerima transaksi tersebut serta memastikan terminal pembayaran sentiasa berfungsi dengan baik.

“Perlu ada lebih banyak kedai yang boleh menerima transaksi ini dan pastikan semua kaunter kedai berfungsi sepenuhnya untuk pembayaran menggunakan MyKad,” katanya.

Penghargaan SARA yang dikreditkan ke dalam MyKad warganegara berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos boleh digunakan sehingga 31 Disember di lebih 4,100 kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara.

Mohd Amiruddin Muhiddin berkata bantuan melalui MyKad memudahkan pengguna mengatur perbelanjaan dan mengelak salah guna wang tunai.

Beliau berharap penebusan dapat diperluas termasuk melalui Jualan Rahmah di kawasan tempat tinggal masing-masing.

“Saya akan guna untuk membeli barang keperluan bulanan seperti sabun dan serbuk pencuci, jadi wang lebihan gaji boleh disimpan untuk kegunaan lain,” katanya.

James Gasing turut berpandangan penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan adalah langkah baik bagi mengelak salah guna kredit.

Beliau mencadangkan penebusan Penghargaan SARA dapat dibuat menggunakan aplikasi seperti e-dompet serta memperluas senarai barangan yang layak termasuk petrol.

“Beliau berharap kedai-kedai yang mengambil bahagian membuka lebih banyak kaunter agar memudahkan orang ramai,” katanya.

James yang juga penerima bantuan MyKasih menganggap penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan adalah langkah baik namun berharap masalah teknikal dapat diatasi.

“Ada penerima yang menghadapi masalah ketika menebus iaitu cip kad pengenalan mereka tidak dapat dibaca oleh peranti yang digunakan,” katanya.

Isterinya Losna Taham berkata beliau belum menebus Penghargaan SARA kerana merancang menggunakannya pada bulan lain agar perbelanjaan keluarga lebih teratur.

“Dalam perkiraan saya mengikut bajet biasa keluarga kami, barangan keperluan yang dibeli dengan nilai RM200 itu dapat menampung bekalan untuk lebih tiga hingga empat bulan.

“Jadi ini sangat membantu keluarga saya. Nampak kecil, tetapi besar maknanya,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *