Pelajar IKM Besut bangunkan 3 produk AI bantu usahawan jimat kos

JERTIH: Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut telah membangunkan tiga produk berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu usahawan seluruh negara dalam perkhidmatan digital dan pemasaran produk dengan kos lebih jimat.

Pengarah IKM Besut Ir Abdul Athar Ibrahim menyatakan produk ini dibangunkan sendiri oleh pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Komputer institut tersebut sejak awal tahun ini dan kini sudah boleh digunakan sepenuhnya.

Projek pertama ialah Cloud-Hosted Instant Web Deployment System iaitu sistem pintar khas untuk usahawan yang mahu memasarkan produk atau perkhidmatan secara pantas tanpa bergantung pada pembangun laman web.

Sistem ini menghasilkan laman web dengan subdomain unik hanya melalui muat naik bahan promosi atau katalog digital untuk dikongsi dengan pelanggan sekali gus menjimatkan masa dan kos.

Produk kedua ialah sistem WhatsApp AI Bot yang memudahkan komunikasi dua hala antara usahawan dan pelanggan tanpa perlu pekerja sepenuh masa.

Bot ini mampu menjawab mesej 24 jam sehari secara automatik dengan penjimatan kos operasi sehingga 70% berbanding menggaji pekerja.

Sistem ini berfungsi seperti pembantu peribadi yang sentiasa bersedia menjawab pertanyaan pelanggan tanpa henti secara konsisten dan cepat.

Produk ketiga ialah Sistem Pengurusan Perkhidmatan dan Aduan yang membolehkan pelanggan menghantar aduan dan memantau status pembaikan.

Sistem ini juga membantu usahawan mengurus kakitangan, bil, tugasan dan laporan dengan lebih efisien.

Produk ini telah diguna pakai oleh beberapa industri termasuk bengkel automotif, syarikat elektrik dan komputer dengan keberkesanan terbukti.

Inovasi ini mampu menjimatkan masa, kos operasi dan meningkatkan produktiviti serta reputasi usahawan melalui kepuasan pelanggan berterusan.

Program Bizlink Netpreneurs@IKM Besut dijayakan bersama 14 usahawan dagangan digital Mara Terengganu dan 165 pelajar pelbagai jurusan bagi memberi pendedahan pemasaran digital.

Majlis perasmian program disempurnakan Pengarah Mara Terengganu Mohd Farris Radzuan di IKM Besut Alor Lintang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *