Mayat remaja lemas akibat mesin padi terjatuh sungai ditemui di Jitra

ALOR SETAR: Mayat seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas mesin padi yang dinaikinya terjatuh ke dalam sungai telah ditemui pagi ini.

Mangsa Muhamad Amsyar Muqri Mohd Asri berusia 18 tahun ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air pada pukul 10.01 pagi.

Operasi pencarian bermula pada pukul 8.30 pagi di sekitar lokasi kejadian dengan radius 10 meter.

Mangsa ditemui di dasar sungai pada kedalaman empat meter kira-kira 10 meter dari lokasi asal.

Operasi penyelamatan dibantu oleh anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Waris mangsa melakukan pengecaman di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada polis.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.53 pagi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu mengesahkan penemuan mayat mangsa yang merupakan penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim.

Kejadian berlaku semalam apabila mesin padi yang dinaiki mangsa bersama tiga rakan terjatuh ke sungai.

Dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi diselamatkan oleh bomba. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *