KPT dan Kementerian Pertahanan kerjasama semak silibus Palapes

SHAH ALAM: Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi akan bekerjasama dengan lebih rapat untuk memastikan kajian semula silibus dan latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan kekal relevan dengan keperluan semasa.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kajian semula yang akan dijalankan perlu menitikberatkan soal pembentukan jati diri pelajar dan persediaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai sebahagian anggota pertahanan negara.

Beliau menegaskan Palapes merupakan antara sumber anggota pertahanan atau pegawai di peringkat Kementerian Pertahanan.

“Kita memang sentiasa berbincang dari segi pelaksanaan program-program Palapes ini, cuma bila ada isu-isu berbangkit seumpamanya kita akan cuba tambah baik,“ katanya.

Beliau menambah pihaknya akan melihat beberapa peraturan untuk memastikan faktor paling penting iaitu keselamatan kerana latihan ketenteraan melibatkan banyak aspek fizikal.

“Kita akan lihat beberapa faktor termasuk kesihatan dan seumpamanya,“ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Amanah Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata kementeriannya akan menambah baik kurikulum dan pengisian latihan bagi menggalakkan penyertaan mahasiswa Palapes ke dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Mohamed Khaled berkata usaha itu bagi menarik penyertaan mahasiswa ketika di universiti yang memberi manfaat serta tidak berakhir tanpa kesinambungan selepas tamat pengajian. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *