Kerajaan rancang letak HDC bawah Suruhanjaya Halal pada masa hadapan – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK: Kerajaan merancang untuk meletakkan Halal Development Corporation Bhd (HDC) di bawah Suruhanjaya Halal Malaysia apabila suruhanjaya itu diwujudkan nanti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata HDC setakat ini ditempatkan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan usaha bagi mewujudkan suruhanjaya itu juga sedang dilakukan.

“Perbincangan telah diadakan agar Suruhanjaya Halal Malaysia dapat diwujudkan.

“Kabinet pada dasarnya telah bersetuju supaya Suruhanjaya Halal Malaysia dapat diwujudkan dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Saya juga berazam untuk meletakkan semua jawatan HDC itu di dalam jawatan sebagai Suruhanjaya Halal Malaysia,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada 16 Ogos lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan merancang untuk menubuhkan Suruhanjaya Halal bagi memperkukuh pembangunan industri halal negara.

Ahmad Zahid turut mengharapkan HDC yang bakal diserapkan ke dalam suruhanjaya itu nanti boleh mewujudkan lebih ramai usahawan wanita dalam industri halal.

“Halal ini bukan hanya untuk Muslim, halal adalah untuk semua bangsa dan agama kerana produk halal melibatkan kebersihan, telah diuji secara saintifik. Ia (produk halal) bukan hanya untuk pasaran domestik atau pasaran dalam daerah tetapi untuk pasaran antarabangsa.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pada tahun hadapan beliau berharap supaya usahawan wanita diberikan pembiayaan keusahawanan melebihi daripada 30 peratus – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *