PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan isu memperluaskan skop pensijilan halal kepada aspek pentadbiran negara tidak berbangkit kerana bidang berkenaan telah ditangani melalui mekanisme berautoriti sedia ada.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya mengambil perhatian serius terhadap pandangan yang disuarakan berhubung peranan JAKIM dalam isu pensijilan halal yang didakwa wajar diperluaskan.
Beliau menjelaskan penting untuk membezakan antara konsep halal dalam Islam yang bersifat menyeluruh dengan proses pensijilan halal yang khusus.
Sirajuddin menegaskan tanggungjawab membanteras rasuah dan memastikan keadilan terlaksana merupakan mandat semua kementerian dan jabatan kerajaan.
Agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi kehakiman telah diberi tanggungjawab tersebut.
Komitmen ini sejajar dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua jabatan untuk menangani rasuah dan memperkukuh integriti nasional.
Islam melalui al-Quran dan sunnah secara tegas mengharamkan rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah.
JAKIM secara berterusan menyampaikan mesej moral dan syariah ini melalui khutbah Jumaat, program pembangunan ummah dan pelbagai saluran dakwah.
Proses pensijilan halal merupakan mekanisme rasmi negara bagi menjamin keyakinan pengguna Islam serta mengawal selia industri halal.
Industri yang memperoleh pensijilan halal menandakan mereka telah memenuhi segala kriteria dan piawaian selaras dengan tuntutan syariah.
Tanpa pensijilan halal yang sah, masyarakat Islam berisiko berhadapan kekeliruan dan manipulasi pasaran.
JAKIM akan terus fokus memastikan pensijilan halal kekal unggul sambil memperkukuh peranan dakwah dan pendidikan.
Kerajaan MADANI melalui JAKIM akan memperkukuh kerjasama strategik dengan semua pihak bagi mengekalkan pensijilan halal Malaysia sebagai penanda aras antarabangsa.
Usaha ini juga meliputi memperkasa pendidikan Islam, pembangunan ummah, dakwah serta institusi keluarga.
Segala usaha ini menzahirkan komitmen berterusan terhadap kesucian, kebersihan, keadilan dan integriti selaras dengan tuntutan syariah. – Bernama