PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia menahan 37 individu warga asing dalam serbuan di sebuah hotel yang dijadikan pusat pelacuran di ibu negara pada 5 September.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata 18 daripada yang ditahan itu warga Indonesia termasuk seorang lelaki, sembilan wanita Thailand, enam wanita Vietnam, dua lelaki Myanmar dan masing-masing seorang wanita dan lelaki dari Laos dan India.
Beliau berkata semakan awal mendapati seramai enam wanita Thailand, tiga wanita Vietnam, dua wanita Indonesia dan seorang wanita warganegara Laos telah menyalahgunakan pas masing-masing manakala lelaki Indonesia dikesan tinggal lebih masa.
Dua lelaki Myanmar, seorang lelaki India, 15 wanita Indonesia dan masing-masing tiga wanita Vietnam dan Thailand didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.
Pasukan operasi telah menyita salinan perjanjian kerja, enam pasport Thailand, masing-masing tiga pasport Vietnam dan Indonesia serta satu pasport Laos.
Modus operandi yang digunakan adalah dengan menjadikan premis hotel tiga bintang sebagai pusat pelacuran warga asing.
Pelanggan boleh memilih wanita yang ingin dilanggan berdasarkan gambar pada aplikasi WhatsApp atau secara datang terus dengan kadar bayaran RM250 hingga RM400 bagi setiap jam.
Premis tersebut dipercayai telah beroperasi sejak September tahun lepas dengan kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Tujuh lelaki tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Dalam operasi berasingan pada 6 September, pihaknya menahan 21 wanita Myanmar di premis pusat hiburan di Nilai, Negeri Sembilan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah.
Bertindak atas maklumat risikan selama dua minggu, pasukan operasi berjaya menahan seorang perempuan Myanmar yang disyaki penjaga premis dan 20 perempuan Myanmar yang bekerja sebagai gadis pelayan.
Kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun dengan pasukan operasi menyita buku catatan urus niaga dan tujuh unit telefon bimbit.
Modus operandi premis hiburan tersebut adalah dengan hanya beroperasi pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja serta hanya menerima pelanggan warga Myanmar.
Pelanggan diwajibkan memesan minuman keras bagi memasuki pusat hiburan itu dan turut ditawarkan gadis pelayan warga Myanmar dengan bayaran RM150 hingga RM200 setiap seorang.
Premis hiburan itu dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan dengan lapan daripada mereka telah tinggal lebih masa manakala 13 yang lain tidak memiliki dokumen yang sah.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan lima lelaki serta seorang wanita Myanmar diberi notis untuk membantu siasatan. – Bernama